Friday, November 15, 2013

PEMAKANAN LEMBU PEDAGING BERASASKAN RUMPUT HUMIDICOLA

Salam hormat,

Sistem pengeluaran ternakan ruminan yang murah adalah berasaskan bahan hijau yang mencukupi. Di dalam tajuk KEPERLUAN ASAS BIDANGUSAHA saya ada mencadangkan anda menanam rumput Br humidicola seluas setengah ekar sebelum bermula menternak. Ini bersesuaian dengan anda bermula menternak sepasang induk lembu pedaging.

Saya yakin anda perlukan tahap pendapatan yang lebih tinggi daripada itu. Jadi saya beranggapan anda akhirnya, mungkin selepas 5 tahun, akan menternak sebanyak 9 ekor induk betina dan seekor pejantan. Bermakna pada satu-satu masa anda akan memelihara sekitaran 19 ekor ternakan. Dengan andaian kadar kelahiran 100% setahun, selepas tahun ke 3 anda akan mula menjual 19 ekor pejantan/dara setahun. Jika berat semasa jualan seberat 250Kg seekor dan pada harga RM12.00/Kg, anda akan menjana pendapatan sebanyak (purata) RM2,250.00 sebulan.

Jadinya anda perlu menambah keluasan petak pastura anda daripada setengah ekar berperingkat dan sejajar dengan pertambahan induk yang anda akan lakukan.

Jika anda memilih Br humidicola sebagai pastura, anda memerlukan sekurangnya 5 ekar rumput ini untuk menampung keperluan 19 ekor ternakan pada satu-satu masa. Saya mencadangkan agar anda memberikan bahan hijau ini secara potong-dan-angkut .


                                    Pemotongan Humidicola


                         Timbang untuk sukatan keperluan seekor

Jika diandaikan setiap ekor ternakan anda seberat 250Kg, maka ia perlukan sebanyak 10% berat badanya makanan hijau sehari. Bermakna 25Kg untuk seekor. Dengan menggunakan guni yang telah anda sukat, memudahkan berapa guni rumput perlu dipotong untuk mencukupkan keperluan makanan bagi semua ternakan yang anda ada. Lama kelamaan anda pun akan mengetahui untuk sejumlah ternakan yang ada berapa luas petak rumput yang perlu dipotong setiap hari.

Apabila anda memiliki 10 ekor ternakan ke atas, mungkin sesuai anda memikirkan kaedah mengangkut bekalan tersebut. Anda mungkin boleh cipta alat seperti berikut.



Setelah pemotongan dibuat, jangan lupa membaja kawasan yang telah dipotong dengan baja organik yang ada, bagi memastikan rumput tumbuh semula dengan memuaskan.




Skian,


Dr Azizol bin Mohd Sharun

2 comments:

  1. EN,KITA NAK BELI RUMPUT BOLEH MAIL KITA KELVIN381ROY@GMAIL.COM

    ReplyDelete
  2. EN,KITA NAK BELI RUMPUT MAKANAN LEMBU BOLEH MAIL KITA NMBR KELVIN381ROY@GMAIL.COM

    ReplyDelete