Wednesday, November 30, 2016

PENYAKIT KUKU DAN MULUT (FMD)

Salam hormat,


TAKRIF PENYAKIT

FMD merupakan satu penyakit yang disebabkan oleh virus, lebih tepat entrovirus, apabila berlaku di kalangan ternakan yang boleh dijangkiti (susceptable host) ia merebak dengan pantas. Salah satu tanda jangkitan penyakit ini ialah demam dan melepoh di bibir serta bahagian dalam mulut khususnya lidah dan juga dicelah kaki ternakan tersebut. Di satu peringkat, akibah tidak boleh menelan air lior, kelihatan juga air lior yang keluar dari mulut yang bertali-tali.



                                Melepoh Di Bahagian Gusi



TERNAKAN YANG BOLEH DIJANGKITI

Ternakan yang boleh dijangkiti penyakit ini termasuklah lembu, kerbau, kambing, bebiri dan babi.


KAEDAH JANGKITAN


Jangkitan boleh berlaku kepada ternakan yang tidak pernah mengalami penyakit ini atau yang tidak pernah menerima sebarang pemvaksinan FMD. Melalui sentuhan (contact) antara ternakan yang sehat dengan ternakan yang berpenyakit atau pun dengan bahan-bahan yang tercemar dengan kuman FMD. Misalnya ternakan lembu yang sihat memakan rumput yang telah dicemari oleh air lior ternakan yang berpenyakit.


TEMPOH INKUBASI

Maksudnya, suatu tempoh bermulanya contact antara lembu yang sihat dengan bahan yang telah dicemari atau lembu yang berpenyakit, sehingga kelihatan tanda klinikal penyakit FMD pada ternakan yang sehat tadi. Bagi penyakit kuku dan mulut ini, tempoh inkubasi ialah antara 3 ke 8 hari kebiasaanya dan boleh sampai ke 21 hari.


PERANAN PUSAT KUARINTI


Oleh kerana lembu telah bersentuhan dengan lembu yang positif penyakit FMD pasti akan menunjukkan tanda klinikal penyakit FMD, maka pusat kuarintin memainkan peranan dan usaha pengawalan dan pencegahan penyakit daripada memasuki sesuatu negara atau pun negeri.

Misalnya semua lembu yang diimpot daripada Thailand disyaratkan supaya di kuarintin selama 14 hari disebuah pusat kuarintin yang diiktiraf JPV di Padang Besar, Perlis. Jika lembu yang hendak dibawa masuk ini telah dijangkiti, pasti tanda-tanda jangkitan akan timbul dalam tempoh tersebut. Lembu yang positif ini diasing singkir dan tidak dibenarkan memasuki negara kita. Bakinya boleh diberikan pelalian dan dibenarkan masuk, setelah pihak berkuasa veterinar kita berpuas hati dengan kesihatan berkenaan.

Apabila lembu daripada negara jiran atau pun negeri yang terdapat penyakit ini, misalnya baru-baru ini di Negeri Pahang telah berlaku penyakit ini, diseludup (pergerakan tanpa permit) ke lokasi lain maka akan tersebarlah penyakit ini ditempat atau negeri yang baru. Biasanya lembu-lembu ini digerakkan dalam tempoh kurang dari tempoh inkubasi penyakit. Bermakna lembu pembawa penyakit FMD ini tiada sebarang tanda. Di sinilah bahayanya jika peraih atau pun orang awam yang tidak memahami penyakit ini serta memindahkan lembu yang tidak jelas status kesihatannya, hanya berpandukan kepada niat untuk mendapatkan duit semata-mata.


TANDA KLINIKAL JANGKITAN


Seperti nama penyakit ini, tanda klinikal penyakit biasanya tertumpu di bahagian mulut dan kaki. Bagi ternakan tenusu, kerap juga didapati tanda penayakit ini di bahagian ambing susu. Kejelasan atau severity tanda berbeza antata individu ternakan.

Ternakan yang dijangkiti biasanya demam.

Apabila dicelah kuku dijangkiti, bahagian ini akan bengkak, panas dan berkudis. Ternakan akan menunjukkan tanda sakit apabila memijakkan kaki tersebut. Oleh sebab itu apabila ternakan ini berjalan, ia berjalan secara tempang atau tenjot. Ternakan ini juga dilihat enggan berjalan.  Bagi mereka yang biasa melihat kejadian penyaklit ini, akan kelihatan salah satu kaki ternakan tidak berpijak kuat.

Bagi tanda-tanda yang melibatkan bahagian mulut pula, pertama diperhatikan ternakan engan makan atau pun minum. Apabila penyakit sapai ke tahap aktif, kelihatan air mulut atau lior yang bertali keluar (drooling). Pada kes ini apabila mulut dibuka akan di dapai di bahagian dalam bibir dan kulit lidah melepoh atau tertanggal. tanda sedemikian adalah merupakan satu tanda pengesahan penyakit di lapangan. Serpihan kulit ini boleh dijadikan bahan atau spesimen makmal untuk pengesahan kuman.

Satu petanda penting penyakit ini ialah, ia merebak dikalangan ternakan yang boleh dijangkiti dengan begitu pantas sekali.

Bagi ternakan yang bunting, keguguran boleh berlaku.



BUKAN PENYAKIT ZOONOTIK



Penyakit ini tidak berjangkit kepada manusia.


KESAN KEPADA EKONOMI PENGUSAHA DAN NEGARA



Penyakit ini tidak membunuh ternakan, kadar kematian hanya sekitaran 2% sahaja.

Kepada pengusaha ternakan lembu tenusu, apabila dijangkiti penghasilan susu akan jatuh mendadak. Pengusaha akan mengalami kerugian disebabkan kehilangan hasil susu. Keduanya, mereka masih terpaksa memberikan makanan kepada kesemua ternakan ini, maknanya menanggung kos memberikan makanan. Apabila ternakan ini sembuh daripada penyakit ini, kadar penghasilan susu tidak akan naik semula ke tahap asal. Ada ketikanya tenusu terpaksa dikeringkan lebih awal. Itu sebabnya negara seperti N Zealand atau pun Australia, begitu takut jika jangkitan kuman ini sampai ke negara mereka. Ia boleh melumpuhkan ekonomi negara tersebut.

Bagi lembu pedaging pula, apabila dijangkiti akan berlaku penurunan berat badan dan kos yang perlu ditanggung dari segi pemberian makanan ternakan berkenaan.

Baru-baru ini semua ternakan lembu dan kambing dari negeri Pahang tidak dibenarkan keluar ke negeri-negeri lain. Bermakna permasaran ternakan telah terganggu dan memberikan kesan kepada pengusaha. Kelewatan memasarkan hasil, pengusaha terpaksa menanggung kos pemberian makanan sehingga boleh dijual semula.

Jadi kita dapat lihat penyakit ini memberikan kesan ekonomi yang besar, jika semua yang terlibat dengan bidangusaha ternakan ini, tidak memberikan kerjasama dalam mengawal penyakit ini daripada terus merebak. Semua pihak akan terjejas. Jadi marilah kita berusaha bersama mencegah dan mengelakkan penyakit ini daripada berlaku.


KAWALAN DAN PENCEGAHAN



Seperti yang telah disebutkan di atas, mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Ternakan yang menunjukkan tanda klinikal tidak boleh didembuhkan dengan suntikan antibiotik. Kadangkala Pegawai Veterinar memberikan suntikan antibiotik untuk mengelakkan jangkitan sampingan sahaja.

Kawalan hanya dengan melaksanakan pemvaksinan penyakit kepada semua ternakan yang layak.

Seperti yang telah disebutkabn di atas juga, pusat-pusat kuarintin boleh memainkan peranan yang penting di dalam usaha mengekang merebaknya penyakit ini. Pergerakan ternakan antara negeri juga akan menjadi lebih selamat jika ternakan dimasukkan ke dalam pusat-pusat kuarintin sebelum dibenarkan memasuki negeri yang lain atau ke destinasi masing-masing.

Tayar lori yang terlanggar rumput yang telah dicemari kuman FMD, boleh memindahkan kuman kemana sahaja ia pergi. Jadi pengsucihamaan kenderaan, terutamanya dibahagian bawah kenderaan dan tayar, secara semburan atau mencelop tayar dengan melalukan kenderaan ke dalam vehicle-dip yang telah dicampurkan dengan bahan pencuci (disinfectant) biasanya disediakan di pintui masuk ke ladang-ladang ternakan adalah merupakan langkah yang baik dalam mengekang penularan wabak.



                                     Pencelop Tayar (Vehicle-Dip)



EPIDEMEOLOGI PENYAKIT

Apabila contoh makmal diproses, kes FMD ini akan di sahkan benaar atau pun tidak. Keduanya, serotyping virus akan dijalankan. Di Malaysia terdapat tiga serotype atau strain virus FMD, Type A, O dan C. Di kalangan negara-negara Asean yang lain juga terdapat tambahan serotype seperti ASIA Type-!, SAT-1, SAT-2 dan SAT-3.

Di negara Thailand terdapatnya strain ASIA Type-1. Jika serotype yang di hasilkan di makmal kita mendapati serotype ini, maka kita mengetahui bahawa ternakan ini datangnya dari negera jiran. Ini juga bermakna ternakan ini (atau kumpulan ternakan ini) telah diseludup ke negara kita atau melalui perjalanan tanpa permit.


PENUTUP


Saya berharap penerangan tersbeut di atas sedikit sebanyak dapat memberikan kefahaman kepada semua pihak yang berkepentingan dengan industri ternakan ruminan di negara kita. Dengan itu nanti saya juga mengharapkan semua yang terlibat turut memainkan peranan mengawal dan mencegah penyakit ini daripada berlaku. Bermakna pencegahan penyakit ini bukan hanya diletakkan kebahu JPV semata-mata.


Sekian,



Dr Azizol bin Mohd Sharun




No comments:

Post a Comment