Friday, December 6, 2013

PEMAKANAN LEMBU PEDAGING: DAUN POKOK BUAHAN DAN TANAMAN

Salam hormat,

Paparan kali ini adalah merupakan yang terakhir dalan siri makanan hijau daripada pokok buahan dan tanaman.

DAUN POKOK BUAHAN DAN TANAMAN: BAHG 3

Daun betik dan daun tebu juga sesuai untuk diberikan kepada lembu anda. Sungguh pun pada kuantiti yang tidak banyak mungkin, namun ia tetap membantu, terutamanya apabila anda kekurangan rumput.




Berikut saya paparkan slide yang menunjukkan kandungan nutrien yang terdapat di dalam ke dua-dua bahan ini, bagi rujukan mereka yang memahaminya.



Jika diperhatikan slide di atas, daun betik adalah baik sebagai sumber protin kepada ternakan anda.


Skian


Dr Azizol bin Mohd Sharun

Tuesday, December 3, 2013

PEMAKANAN LEMBU PEDAGING: DAUN POKOK BUAHAN DAN TANAMAN

Salam hormat,

DAUN POKOK BUAHAN DAN TANAMAN: BHG 2

Di bawah tajuk ini saya paparkan 3 lagi jinis tanaman yang boleh dijadikan bahan makanan untuk ternakan lembu pedaging anda. Ia adalah daun keledek, daun nangka dan daun ubi kayu.







Saya tidak mengalakkan pemberian makanan 100% dengan daun nangka atau daun ubikayu. Berikan secara campuran 2 jenis daun lain. Dari sudut kandungan nutrien, adalah seperti di dalam slide beikut.

Perhatikan daun ubi kayu dan keledek mempunyai kandungan protin yang tinggi.

 
Terima Kasih


Dr Azizol Mohd Sharun

Sunday, December 1, 2013

PEMAKANAN LEMBU PEDAGING: DAUN POKOK BUAHAN DAN TANAMAN

Salam hormat,

DAUN POKOK BUAHAN DAN TANAMAN SEBAGAI BAHAN MAKANAN: BHG 1

Sebagaimana tajuk di atas, paparan kali ini ialah mengenai punca bahan makanan selain daripada rumput yang boleh dijadikan bahan makanan tambahan untuk lembu pedaging yang anda ternak.

Di dalam paparan bertajuk PENTINGNYA MATLAMAT BIDANGUSAHA, saya ada menyatakan pentingnya anda bertani secara bersepadu (integrated ) seperti di dalam slide yang bertajuk FITRAH PULANGAN USAHA. Cara begini bukan sahaja boleh meningkatkan kualiti pemakanan ternakan anda, ia juga mampu meningkatkan jumlah ternakan yang kawasan rumput anda mampu tampung pada satu-satu masa. Penggunaan bahan hijau ini secara optima boleh membantu mengitar semula segala sisa pertanian di kawasan anda.

Bahan hijau yang saya akan berikan gambaran kali ini meliputi batang jagung, daun kelapa sawit dan daun pisang. Ke tiga-tiga bahan ini memang sesuai untuk dijadikan bahan makanan lembu pedaging. Anda boleh berikan dalam bentuk segar dan juga boleh di peram ( silaj ). Kemungkinan anda memerlukan bantuan mesin pemotong atau perincih bagi memudahkan anda menggunakan bahan ini. Di pamiran hari peladang peringkat kebangsaan baru-baru ini saya perhatikan mesin yang berharga kira-kira RM4,200 adalah sesuai.








Jika anda menanam jangung yang tidak luas, anda bolih keringkan batang jangung berkenaan, setelah pemetikan buahnya, dan disimpan. Boleh diberikan kepada ternakan anda semasa musim kemarau di mana rumput agak berkurangan.

Daun kelapa sawit pula boleh diberikan dengan membawa pelepah-pelepah sawit dan di gantung ditepi-tepi pagar atau kandang. Lembu anda akan memakan daun-daun sawit dan meningalkan lidi dan pelepah sahaja untuk dilupuskan.

Dari sudut kandungan zat, berikut saya paparkan kandungan nutrien ketiga-tiga bahan tanaman ini untuk panduan (bagi mereka yang memahaminya). Pentingnya anda melihat kandungan protin kasar (CP%) bahan-bahan berkenaan.



Skian dahulu,


Dr Azizol Mohd Sharun

Monday, November 18, 2013

NAPIER SEBAGAI SUMBER MAKANAN UTAMA

Salam hotmat,

Jinis rumput ke dua yang paling sesuai dijadikan bahan makanan hijau kepada ternakan lembu pedaging ialah Napier atau juga dikenali sebagai rumput gajah.


                                             Rumput Napier

Bagi kita yang mempunyai kawasan yang terhad, antara 3 ke 4 ekar, saya cadangkan anda menggunakan rumput ini sebagai makanan utama ternakan anda. Di Malaysia rumput ini mampu menghasilkan 484Tan/Ekar/Tahun bahan hijau segar. Anda yang menternak 9 ekor bibit dan seekor pejantan perlu ada sekitaran 3.5 ke 4 ekar kawasan yang ditanam dengan rumput ini.

Dari sudut pemberian makannan pula, rumput ini sesuai untuk diberikan secara potong-dan-angkut sahaja. Bermakna lembu diberikan makanan ini di dalam kandang. Pengurusan rumput menjadi rumit dan pupus jika diragut.



Bagi memudahkan anda memotong Napier, saya cadangkan anda melabur dan membeli sebuah mesen pemotongan seperti yang saya tunjukkan di dalam gambar berikut.


                                   Mesen Perincih Napier

Sepertimana juga dengan rumput humidicola, anda perlu membuat timbangan sekali dengan menggunakan bekas tertentu, supaya setiap ekor mendapat bahan hijau yang mencukupi keperluan makanannya setiap hari.

Skian,


Dr Azizol Mohd Sharun

Saturday, November 16, 2013

JIKA HUMIDICOLA DIGUNA SECARA RAGUTAN JANGAN LUPA BEKALAN AIR

Salam hormat,

Rumput Br humidicola juga sesuai digunakan sebagai rumput ragut. Dengan kadar ternakan yang anda miliki, 3.5 ternakan setiap ekar, ia mampu memberikan kadar pertumbuhan badan kira-kira 350 gram sehari.

Apabila ia digunakan sebagai rumput ragut, bekalan air minum yang bersih perlu senantiasa ada. Anda boleh gunakan calvert, seperti dalam gambar berikut.





Skian,


Dr Azizol bin Mohd Sharun

Friday, November 15, 2013

PEMAKANAN LEMBU PEDAGING BERASASKAN RUMPUT HUMIDICOLA

Salam hormat,

Sistem pengeluaran ternakan ruminan yang murah adalah berasaskan bahan hijau yang mencukupi. Di dalam tajuk KEPERLUAN ASAS BIDANGUSAHA saya ada mencadangkan anda menanam rumput Br humidicola seluas setengah ekar sebelum bermula menternak. Ini bersesuaian dengan anda bermula menternak sepasang induk lembu pedaging.

Saya yakin anda perlukan tahap pendapatan yang lebih tinggi daripada itu. Jadi saya beranggapan anda akhirnya, mungkin selepas 5 tahun, akan menternak sebanyak 9 ekor induk betina dan seekor pejantan. Bermakna pada satu-satu masa anda akan memelihara sekitaran 19 ekor ternakan. Dengan andaian kadar kelahiran 100% setahun, selepas tahun ke 3 anda akan mula menjual 19 ekor pejantan/dara setahun. Jika berat semasa jualan seberat 250Kg seekor dan pada harga RM12.00/Kg, anda akan menjana pendapatan sebanyak (purata) RM2,250.00 sebulan.

Jadinya anda perlu menambah keluasan petak pastura anda daripada setengah ekar berperingkat dan sejajar dengan pertambahan induk yang anda akan lakukan.

Jika anda memilih Br humidicola sebagai pastura, anda memerlukan sekurangnya 5 ekar rumput ini untuk menampung keperluan 19 ekor ternakan pada satu-satu masa. Saya mencadangkan agar anda memberikan bahan hijau ini secara potong-dan-angkut .


                                    Pemotongan Humidicola


                         Timbang untuk sukatan keperluan seekor

Jika diandaikan setiap ekor ternakan anda seberat 250Kg, maka ia perlukan sebanyak 10% berat badanya makanan hijau sehari. Bermakna 25Kg untuk seekor. Dengan menggunakan guni yang telah anda sukat, memudahkan berapa guni rumput perlu dipotong untuk mencukupkan keperluan makanan bagi semua ternakan yang anda ada. Lama kelamaan anda pun akan mengetahui untuk sejumlah ternakan yang ada berapa luas petak rumput yang perlu dipotong setiap hari.

Apabila anda memiliki 10 ekor ternakan ke atas, mungkin sesuai anda memikirkan kaedah mengangkut bekalan tersebut. Anda mungkin boleh cipta alat seperti berikut.



Setelah pemotongan dibuat, jangan lupa membaja kawasan yang telah dipotong dengan baja organik yang ada, bagi memastikan rumput tumbuh semula dengan memuaskan.




Skian,


Dr Azizol bin Mohd Sharun

Tuesday, November 5, 2013

MULA MENTERNAK DAN SETERUSNYA...

Salam hormat,

Setelah segala persiapan siap, tibalah masanya untuk anda memulakan aktiviti menternak. Saya menyarankan supaya anda bermula kecil dahulu. Maksud kecil di sini ialah anda bermula dengan sepasang ternakan lembu pedaging. Pengalaman saya menunjukkan cara beginilah yang paling baik.

Dalam tempoh setahun setengah ke dua tahun itu anda akan mempelajari segala aspek menternak termasuklah keperluan masa anda. Anda akan mempelajari keperluan makanan, air minuman, galian dan juga bekalan rumput hijau disepanjang tahun. Saya yakin dalam tempoh ini juga ternakan anda telah melahirkan seekor anak. Apabila anak ini telah mencapai umur 6 bulan ke setahun, barulah sesuai pada pendapat saya, untuk membuat tambahan bibit, itu pun jika makanan mencukupi.

Anda juga akan faham, dalam tempoh seminggu ke 3 minggu ketibaanya, ternakan ini tidak berapa hendak makan. Setelah menyesuaikan diri di tempat dan pengurusan anda kira-kira selepas 3 minggu, barulah ia mula makan seperti biasa.

Walau pun anda menternak sepasang sahaja buat permulaan, saya turut mencadangkan supaya bibit dan pejantan diberikan nombor pengenalan.


Saya sedar bukan susah nak tahu lembu yang mana satu, jika berlaku sesuatu. Lebih penting lagi anda akan mengetahui selok-belok penggunaan nombor pengenalan menggunakan tag plastik ini. Anda akan lalui nanti, kadang kala tag ini tertanggal dalam 3 ke 4 bulan penggunaanya. Pengalaman ini nanti akan anda gunakan apabila anda membesarkan jumlah bibit yang ada. Jika kita baru menternak, budaya menggunakan nombor pengenalan ini masih lagi tiada.

Pentingnya budaya ini nanti adalah untuk membuat catitan atau rekod ternakan. Peternakan yang maju dan moden, penggunaan rekod adalah merupakan salah satu ciri dan akan digunakan untuk pemantauan produktiviti setiap bibit dan juga aspek pengurusan kesihatan yang lain.

Setelah anda lalui satu pusingan ternakan, biasanya selepas 3 tahun menternak, barulah anda membuat penambahan bibit. Saya mencadangkan anda menambah bibit kepada 5 ekor dahulu. Banyak pengalaman lagi yang akan anda lalui dalam fasa kedua ini nanti. Pentingnya anda memastikan bekalan rumput yang ada mencukupi, sebelum membuat penambahan. Kebiasaanya kumpulan sebesar 5 ekor bibit dan seekor pejantan tiada masaalah jika kita ada pastura seluas 1.5 ekar.


Skian


Dr Azizol Mohd Sharun

Monday, November 4, 2013

KEPERLUAN ASAS BIDANGUSAHA

Salam hormat,

Sebelum kita bermula dengan aktiviti menternak lembu pedaging, perlu saya nyatakan disini, jika boleh anda menghadiri mana-mana kursus peternakan lembu pedaging. Biasanya yang menganjurkan kursus sebegini ialah JPV. Jadi rujuklah kepada mereka dimana dan bila kursus diadakan. Dengan latihan yang diterima, ia akan meletakkan anda pada kedudukan yang lebih mantap untuk menjalankan aktiviti menternak dan beroleh kejayaan.

Seterusnya perlu ada beberapa prasarana di lokasi anda, sebelum bermula. Pertama sekali anda perlu ada kira-kira setengah ekar petak raggutan yang ditanam dengan rumput yang sesuai, dan saya cadangkan rumput humidicola (nama saintifiknya: Bracharia humidicola). Humidicola boleh tumbuh dengan baik walau pun di kawasan yang kurang subur. Ia juga terbukti boleh berkembang di kawasan-kawasan yang kurang mendapat hujan. Rumput ini menghasilkan bahan makanan yang lebih berkualiti daripada rumput kampung (Exonopus compresus).Keratan 42 hari menghasilkan 15-20 tan bahan kering setiap hektar dalam setahun, dengan kandungan protin antara 5-17%.


                             Petak Raggutan Rumput Humidicola

Jika anda memilih untuk menternak secara terkurung sepenuh masa, saya sarankan rumput yang sesuai dan perlu ada ialah rumput gajah atau Napier.

Seterusnya, saya juga menyarankan supaya anda ada sebuah kandang kecil dan sedikit kawasan yang dilingkung, sama ada dengan menggunakan kayu-kayan atau pun pagar cyclone. Prasarana ini diperlukan semasa aktiviti kesihatan hendak dijalankan dan juga alain-lain aktiviti peternakan, misalnya memberikan nombor pengenalan.


                          Kandang kecil dan kawasan lingkungan

Tidak kurang juga pentingnya, anda perlu menyediakan tempat minum untuk ternakan anda. Ada yang disediakan di dalam kandang dan ada juga yang jinis mudah alih dengan menggunakan takungan plastik (gambar berikut).


                               
Buat permulaan anda boleh menggunakan bekas plastik yang lebih kecil. Amat penting air yang diberikan adalah bersih dan setaraf dengan air minuman kita. Saya juga menyarakan anda tidak menggunakan air paip yang kita minum. Air telaga atau air sungai yang jernih amat digalakkan.

Satu lagi keperluan asas ialah garam jilat. Sungguhpun agak mahal, ia perlu ada untuk menjamin kesihatan dan kesuburan ternakan.



                                              Garam Jilat

Garam jilat ini boleh dibeli melalui JPV atau pun terus kepada syarikat yang membekal makanan haiwan.

Apabila semua ini ada dan tersedia , barulah anda boleh membawa masuk bibit dan lembu penjantan anda dan memulakan aktiviti menternak. Saya cadangkan bermulalah dengan saiz ternakan yang kecil, misalnya 5 ekor yang terdiri daripada 4 ekor lembu betina dan seekor pejantan. Anda juga boleh bermula dengan menternak sepasang sahaja dahulu. Ditambah bilangannya setahun kemudian apabila anda telah ada sedikit keyakinan dan kemampuan.


Skian,


Dr Azizol Mohd Sharun (DVM, MAgrS)

Saturday, November 2, 2013

SUMBER ATAU PUNCA TERNAKAN LEMBU PEDAGING UNTUK PEMBIAKKAN

Salam hormat,

Seterusnya saya akan menghuraikan di mana sepatutnya anda memperolehi bibit untuk memulakan bidangusaha. Ingat, lembu yang produktif misti berkeadaan sihat. Jadi pilih lah bibit anda daripada punca yang bersih dari sebarang penyakit ternakan.

Saya mencadangkan proses pemilihan ini sesuailah dibuat dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang terdekat. Dengan berbuat demikian juga, mereka akan mengetahui bahawa anada adalah seorang pengusaha yang baru bermula. Jika berlaku sebarang kesulitan, mereka boleh dihubungi.

Anda boleh memilih atau memperolehi ternakan daripada punca-punca berikut:-



Sumber ladang JPV adalah yang paling sesuai. Ada sedikit kesulitan dari sudut pembeli jika jaraknya terlalu jauh. Kualaiti adalah yang terbaik dan bebas penyakit yang mengamcam pembiakkan seperti Brucelloosis.





Kedua, sumber daripada PJT milik FELDA. Misalnya di Palong, N Sembilan. Mereka mengumpulkan semua ternakan lembu untuk dijual di sini. FELDA Plantation Sdn Bhd adalah merupakan pengusaha lembu pedaging secara integrasi dengan tanaman kelapa sawit yang besar. Jadi mereka senantiasa ada ternakan yang perlu dijual. Jadi buat lah pemilihan dan dengan harga yang bersesuaian.



Ketiga, anda juga boleh membeli dari mana-mana sahaja NFC yang ada bekalan yang anda cari. Kadangkala mereka ada bekalan dan untuk dijual.



Keempat, sumber tradisional. Sumber ini memerlukan anda membuat saringan penyakit seperti Brucellosis. Keadaan ternakan yang lepas bebas ini mudah dijangkiti pelbagai penyakit dan ada di antarnya adalah pembawa kuman berkenaan. Sumber ini mungkin murah sedikit dan dengan jarak yang anda pilih.

Anda boleh membuat perolehan daripada sumber-sumber lain asalkan saringan penyakit dibuat. Pastikan ternakan betina (bibit) dan pejantan yang anda beli berkeadaan sihat.

Untuk lembu betina saya cadangkan beli yang berumur dalam lingkungan 2 ke 4 tahun dan yang pejantan dalam lingkungan 3 tahun. Gunakan kiraan gigi untuk menentukan umur ternakan jika rekod tiada. Pihak JPV arif dalam perkara berkenaan.


Slkian,


Dr Azizol Bin Mohd Sharun

Thursday, October 24, 2013

BAKA LEMBU PEDAGING YANG SESUAI

Salam sejahtera,

Di dalam halaman ini saya hendak memberikan penekanan pentingnya menggunakan baka yang betul.

Sepanjang 30 tahaun terlibat dengan peternakan ruminan, saya mendapati baka Kedah-Kelantan atau ringkasnya KK, adalah baka pedaging yang paling sesuai diternak di Malaysia. Baka ini kebal kepada banyak penyakit. Ia juga diperhatikan lebih produktif berbanding dengan lain-lain baka pedaging.




Satu sifat produktiviti penting baka KK ialah mamapu melahirkan anak setiap tahun dan mempunyai tempoh produktif yang panjang sehingga 10 tahun. Keperluan tenaga asas (mantainence) yang rendah membolehkan baka ini hidup dan berkembang di dalam keadaan kualiti pastura yang rendah.

Di Pantai Timur semenanjung, baka ini menjadi pilihan sebagai lembu sembelihan kerana hasil sembelihan habis dijual dalam sehari. Bermakna penyembelih/peraih tidak memerlukan kemudahan bilik atau peti sejuk untuk menyimpan baki daging yang tidak habis dijual.

Dari sudut kos pembangunan projek, baka KK jauh lebih murah daripada lain-lain baka pedaging.

Saya perhatikan kebelakangan ini banyak baka kacukan Brahman diternak oleh para penternak pedaging, sama ada secara kecil-kecilan mahu pun di dalam projek integrasi dengan tanaman kelapa sawit. Di antara penghambat utama penggunakan baka ini ialah kos yang mahal, berbanding baka KK. Kedua, biomass yang terdapat di perladangan sawit dan lebih lagi di kampung-kampung taradisi Melayu, agak rendah untuk menampung keperluan asas untuk hidup. Kesanya, kita perhatikan selain daripada kesan ketidak seimbangan zat makanan, ternakan ini hidup di dalam keadaan kekuranga tenaga, selain daripada protin. Jadi kita lihat ternakan ini sukar memberikan produktiviti yang tinggi, kecuali diberikan makanan tambahan.




Satu ciri penting sistem pengeluaran lembu pedaging yang maju (advance production system) ialah seekor ibu melahirkan seekor anak yang sihat setiap tahun. Untuk tujuan ini, pendapat saya hanya baka KK yang mamapu memberikan tahap prestasi tersebut.


Skian,


Dr Azizol bin Mohd Sharun

Wednesday, October 23, 2013

PENTINGNYA MATLAMAT BIDANGUSAHA

Salam hormat,

Sedikit lagi theoritical dalam penyampaian saya. Tetapi ia adalah amat penting. Ia adalah berkaitan dengan MATLAMAT bidangusaha. Saya perhatikan mereka-mereka yang menjalankan kegiatan menternak lembu TANPA sebarang matlamat. Matlamat penting, kerana ia adalah pengerak kepada aktiviti harian yang seseorang itu kena lakukan dan penentu kepada pendapatan.

Perhatikan matlamat peternakan berikut,




Jika anda bermatlamat seperti yang saya paparkan di atas, saya fahamlah kenapa anda tidak mendapat pulangan yang terbaik daripada bidang peternakan dan bidang tanah yang anda miliki. Matlamat di atas kurang tepat dan kurang jelas. Cuba bandingkan dengan paparan matlamat berikut,



Apabila anda hendak buat duit melalui projek lembu pedaging, maka akan lebih luaslah punca duit anda dan bukan terhad kepada penjulan lembu-lembu daging yang cukup umur itu sahaja. Anda boleh gunakan panduan berikut untuk buat duit, perhatikan...




Kajilah sedalamnya butiran yang terdapat di dalam gambar di atas. Apabila anda memunafaatkan sisa ternakan (limbah), khususnya tinja lembu yang terkumpul, melalui tanaman lain seperti pisang, cili, sayuran lain dan sebagainya anda akan mendapat pulangan yang optimum daripada bidang tanah yang anda ada.

Salah satau daripada pengukuran pendapatan di dalam sistem pertanian yang maju (advance agriculture practises) ialah pendapatan (RM) setahun dari setiap ekar(atau hektar) tanah (RM/Hec/Yr). Bermakna amalan pertanian bersepadu adalah menjadi pilihan terbaik. Bermula daripada ternakan, kita mengintegrasikan lain-lain tanaman agar pendapatan kita tinggi dan terus meningkat dari setahun ke setahun.


Fikir-fikirkan...


Dr Azizol Mohd Sharun

Monday, October 21, 2013

POTENSI BIDANGUSAHA DAN DIMANAKAH DUITNYA

Salam hormat,

Saya memikirkan elok saya bermula dengan tajuk ini. Sekurangnya anda yang sudah menternak lembu pedaging sedar dan lebih yakin (atau tidak yakin) akan bidang yang telah sekian lama diceburi. Tajuk ini lebih penting lagi bagi mereka yang baru hendak bermula atau bercita-cita hendak terlibat dengan bidangusaha lembu pedaging. Apa pun yang saya akan ceritakan nanti, saya percaya anda sendiri mungkin ada sebab-sebab tertentu kenapa terus memilih untuk menternak lembu pedaging.

Bagi saya, apa pun yang kita buat di dalam bidang pertanian ini, mistilah dapat membantu meningkatkan ekonomi kita. Ada yang tidak setuju? Tak mengapa dan saya tidak kecil hati sedikit pun dengan jawapan itu. Di dalam usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020, ekonomi kaum Bumiputra tidak dapat dipisahkan. Di sinilah pentingnya penyumbangan setiap kegiatan kita terhadap ekonomi masing-masing termasuklah bidang peternakan lembu pedaging.

Ok, mari kita lihat sejenak potensi beberapa bidang usaha peternakan, melalui slide berikut.



Perhatikan di dalam slide berkenaan, bidang peternakn lembu pedaging secara tradisional cow-calf, selain daripada lembu fidlot dan integrasi di dalam perladangakn kelapa sawit (no 4 ) tidak tersenarai pun.

Daripada slide tersebut juga, kita perhatikan terunggul dari segi pulangan ekonomi ialah peternakan Uggas, khususnya projek ayam pedaging dan penelor. Itu sebabnya orang China buat projek ini. Kedua, projek kambing pedaging secara intensif. Projek kambing ini pun ada orang China yang terlibat. Tetapi projek lembu pedaging secara kecil-kecilan tak ada orang China yang buat.

Perbandingan antara peternakan lembu pedaging, kambing pedaging dan kambing bebiri telah dibuktikan oleh Dr C Davebdra, bahawa projek kambing pedaging lebih balik pulangannya. Lihat slide berikut.



Kalau kita ada 10 ekar kawasan sawit, eloklah memilih untuk menternak kambing pedaging, kerana pulanganya paling tinggi. Jika kita menilai dari segi pulangannya lah. Tetapi jika anda masih hendak menternak lembu pedaging, tiada sapa yang kata tak boleh pun.

OKlah anda kata hendak buat projek lembu pedaging juga. Sebelum memulakan projek cuba lihat antara anda sehinggalah ke pengguna (pembeli daging lembu) di manakah duitnya. Dengan lain perkataan, dalam bidangusaha penghasilan daging lembu ini siapa yang buat duit sebenarnya, penternak atau peraih??? Lihat slide berikut.



Perhatikan pada slide di atas, duitnya didalam bidang pemasaran atau aktiviti orang tengah. Aktiviti pengeluaran, iaitu aktiviti menternak yang anda lalukan, hanya memberikan pulangan antara 20 ke 35% sahaja. Sekarang anda mungkin faham kenapa penyembelih dan penjual daging kayaraya dan pengusaha terus miskin. Sebenarnya anda pengusaha juga boleh menyembelih dan menjual daging lembu anda sendiri, untuk mendapatkan keuntungan yang besar, selain daripada menternak sahaja.

Fikir dan renungkan baik-baik...nanti boleh tanya saya kalau kurang jelas..


Setakat itu dahulu buat masa kini,


Dr Azizol Mohd Sharun

Saturday, October 19, 2013

OBJEKTIF BLOG

Salam hormat,

Tujuan blog ini diwujudkan ialah untuk memberi ruang kepada sesiapa sahaja, sama ada yang telah dan sedang terlibat dengan bidangusaha lembu pedaging, atau pun yang baru bercita-cita ingin menceburkan diri di dalam bidangusaha ini, untuk bertanyakan apa sahaja mengenai bidangusaha, mahu pun masalah yang sedang dihadapi, atau pun perkara yang ingin diketahui, kepada saya. Saya akan cuba respon sebaik mungkin, berdasarkan kepada ilmu serta pengalaman yang ada pada diri saya.

Saya amat tertarik dengan perkataan NEGARA MAJU (advance nation) yang akan kita capai, insyaAllah, menjelang tahun2020. Salah satu komponen dalam sektor pertanian ialah ternakan dan salah satu sub-sektor di dalamnya ialah peternakan lembu pedaging. Persoalanya, bagaimankah ciri atau kriteria peternakan lembu pedaging yang juga misti advance pada tahun berkenaan? Saya berharap akan dapat menceritakan, dari prespektif saya, makna bidang peternakan lembu pedaging, tanpa mengira saiz bidangusaha, yang advance. Oleh yang demikian nanti anda, sebagai pengusaha, boleh mempersiapkan diri supaya bidangusaha anda masing-masing juga bertaraf advance.

Bidangusaha lembu pedaging yang saya maksudkan ini termasuk bidangusaha lembu fidlot, kerana ia juga merupakan bidangusaha lembu pedaging, cumanya secara intensif.

Perkhidmatan ini diberikan secara PERCHUMA. Anda tidak perlu mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan ini.

Anda boleh bertanyakan perihal bidangusaha ini melalui e-mail(seeloknya), atau pun ruang interaktif yang saya akan sediakan tidak berapa lama lagi.

Saya berharap dapat membantu anda di luar sana.

Skian,


Dr Azizol bin Mohd Sharun