Tuesday, November 5, 2013

MULA MENTERNAK DAN SETERUSNYA...

Salam hormat,

Setelah segala persiapan siap, tibalah masanya untuk anda memulakan aktiviti menternak. Saya menyarankan supaya anda bermula kecil dahulu. Maksud kecil di sini ialah anda bermula dengan sepasang ternakan lembu pedaging. Pengalaman saya menunjukkan cara beginilah yang paling baik.

Dalam tempoh setahun setengah ke dua tahun itu anda akan mempelajari segala aspek menternak termasuklah keperluan masa anda. Anda akan mempelajari keperluan makanan, air minuman, galian dan juga bekalan rumput hijau disepanjang tahun. Saya yakin dalam tempoh ini juga ternakan anda telah melahirkan seekor anak. Apabila anak ini telah mencapai umur 6 bulan ke setahun, barulah sesuai pada pendapat saya, untuk membuat tambahan bibit, itu pun jika makanan mencukupi.

Anda juga akan faham, dalam tempoh seminggu ke 3 minggu ketibaanya, ternakan ini tidak berapa hendak makan. Setelah menyesuaikan diri di tempat dan pengurusan anda kira-kira selepas 3 minggu, barulah ia mula makan seperti biasa.

Walau pun anda menternak sepasang sahaja buat permulaan, saya turut mencadangkan supaya bibit dan pejantan diberikan nombor pengenalan.


Saya sedar bukan susah nak tahu lembu yang mana satu, jika berlaku sesuatu. Lebih penting lagi anda akan mengetahui selok-belok penggunaan nombor pengenalan menggunakan tag plastik ini. Anda akan lalui nanti, kadang kala tag ini tertanggal dalam 3 ke 4 bulan penggunaanya. Pengalaman ini nanti akan anda gunakan apabila anda membesarkan jumlah bibit yang ada. Jika kita baru menternak, budaya menggunakan nombor pengenalan ini masih lagi tiada.

Pentingnya budaya ini nanti adalah untuk membuat catitan atau rekod ternakan. Peternakan yang maju dan moden, penggunaan rekod adalah merupakan salah satu ciri dan akan digunakan untuk pemantauan produktiviti setiap bibit dan juga aspek pengurusan kesihatan yang lain.

Setelah anda lalui satu pusingan ternakan, biasanya selepas 3 tahun menternak, barulah anda membuat penambahan bibit. Saya mencadangkan anda menambah bibit kepada 5 ekor dahulu. Banyak pengalaman lagi yang akan anda lalui dalam fasa kedua ini nanti. Pentingnya anda memastikan bekalan rumput yang ada mencukupi, sebelum membuat penambahan. Kebiasaanya kumpulan sebesar 5 ekor bibit dan seekor pejantan tiada masaalah jika kita ada pastura seluas 1.5 ekar.


Skian


Dr Azizol Mohd Sharun

No comments:

Post a Comment